PUSPEN Tawau bakal dibina

PUSPEN Tawau bakal dibina

TAWAU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) berusaha secara proaktif untuk menyediakan kemudahan merawat pulih masyarakat yang terjebak dengan penagihan dadah.

Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) baharu bakal dibina di daerah ini dengan keluasan tapak 12 hektar di kawasan Batu 36, di sini.

Katanya, peruntukan itu adalah di bawah Rancangan Malaysia Ke -12 (RMK12) menerusi Rolling Plan – 4 (RP4) 2024 dengan kos siling keseluruhan sebanyak RM8.5 juta.

“Kerajaan sudah meluluskan peruntukan untuk kerja-kerja awalan pembinaan PUSPEN dan Pusat Tahanan Reman (PTR) di tapak berkenaan,” ujarnya.

“Bagi pembinaan awalan itu, JKR Sabah dilantik sebagai agensi pelaksana projek dan tapak projek pembinaan PUSPEN Tawau ini mendapat pewartaan kerajaan Sabah pada 14 Mac 2024,” katanya.

Abdul Halim berharap kerja-kerja pembinaan PUSPEN Tawau itu dapat diteruskan selepas kerja awalan sudah selesai dilaksanakan.

“Ia supaya membolehkan perkhidmatan segera dilakukan khususnya program rawatan dan pemulihan dalam institusi (RPDI) bagi mereka yang mengalami permasalahan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan PUSPEN di sini, pada hari ini.

Terdahulu majlis pecah tanah itu disempurnakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya.

Abdul Halim berkata, kemudahan itu bukan sahaja dinikmati oleh warga kerja Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), sebaliknya untuk penduduk di sekitar Pantai Timur Sabah.

“Dengan adanya fasiliti ini, saya yakin kumpulan tertentu yang memerlukan perkhidmatan berkenaan lebih mudah untuk mendapatkan akses rawatan dan pemulihan.

“Selain itu, dapat menzahirkan sokongan khususnya ketika sesi lawatan keluarga yang menjadi terapi terapeutik kepada klien-klien AADK,” katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya penduduk melenyapkan stigma negatif terhadap penubuhan PUSPEN kerana penubuhannya adalah usaha memberi rawatan dan pemulihan kepada mereka yang memerlukan.

Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung Datuk Hamild Awang dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Shobah Jamil.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|