Padah curi besi dari kapal kargo tersadai

Padah curi besi dari kapal kargo tersadai

LABUAN: Dua lelaki dicekup selepas didapati terlibat dengan aktiviti mencuri besi daripada sebuah kapal kargo yang terkandas dalam kejadian berhampiran Jeti Liberty Labuan, dekat sini, baru-baru ini.

Dalam kejadian jam 9.30 malam 11 Januari lalu, kedua-dua individu dengan salah seorang daripadanya warga asing berjaya ditahan oleh sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Labuan.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Izwanhadi Idros berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang membuat rondaan operasi Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 3.0 telah berjaya mengesan sebuah bot kayu tiada nombor pendaftaran berwarna biru dan jingga sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan di lokasi tersebut.

“Pemeriksaan ke atas bot kayu yang tidak memiliki lesen sah operasi tersebut kemudiannya dua lelaki, yang mana salah seorang tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan bot dipenuhi dengan besi terpakai disyaki dicuri dari kapal kargo yang terkandas berdekatan Pulau Daat.

“Kedua-dua lelaki bersama bot dinaiki serta besi terpakai itu ditahan dan diiring masuk ke Jeti APMM Labuan untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurut beliau, kes akan disiasat di bawah Seksyen 474 (2) dan Seksyen 385 (3) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana melakukan secara salah mengangkut atau mengalih mana-mana bahagian kapal wrek atau kargo dan bot tidak memiliki lesen yang sah untuk beroperasi serta awak-awak tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|