Miliki bakakuk, lelaki ditahan dalam serbuan di rumah

Miliki bakakuk, lelaki ditahan dalam serbuan di rumah

TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai memiliki selaras senapang buatan sendiri jenis ‘bakakuk’ dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor, Kampung Kuala Merotai, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 59 tahun dan barangan yang dirampas telah dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

“Dalam kejadian itu, sepasukan polis daripada Cawangan Siasatan Khas D9 Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sabah dan Balai Polis Bombalai telah membuat serbuan di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Kuala Merotai.

“Semasa serbuan, polis telah membuat pemeriksaan dan menemui satu laras senjatapi jenis bakakuk buatan sendiri, satu laras senapang angin guli dan tiga butir peluru di dalam rumah yang didiami suspek,” katanya.

Jelas beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

“Orang ramai diingatkan bahawa menyimpan apa-apa senjata api termasuk buatan sendiri dan amunisi tanpa sebarang kebenaran yang sah adalah menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|