RANAU: Timbalan Ketua Menteri yang juga ADUN Kundasang, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam merasmikan jambatan gantung baharu sepanjang 90 meter merentasi sungai Malinsau, Kampung Linapasan dalam Mukim Malinsau, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang, di sini, semalam.
Kemudahan tersebut memberi manfaat kepada 278 orang penduduk kampung yang kebanyakannya terlibat dalam aktiviti pertanian.
Perasmian itu diadakan sempena lawatan beliau ke Kg. Linapasan untuk bertemu dengan rakyat di situ.
Turut serta ialah Setiausaha Politik beliau, Yubidi Gompoyo; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kundasang, Dounis Bolo; Pemaju Mukim, Ratimin Kononut; Wakil Ketua Anak Negeri, penduduk sekitar kampung dan kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kundasang.
Selain itu, Dr. Joachim yang diiringi Ketua Kampung Linapasan, Rudi Barani turut menyampaikan kunci Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada empat penerima.
“Bagi DUN Kundasang, Kerajaan juga memperuntukan sebanyak 20 unit rumah SMJ bagi mereka yang sangat memerlukan pada setiap tahun dalam tempoh tiga tahun ini.
“Sekiranya kerajaan GRS masih memerintah, program ini akan diteruskan,” tambahnya lagi.
Beliau juga menyempurnakan perasmian gelanggang bola tampar baharu dan menyaksikan perlawanan antara penduduk kampung di situ.
Bercakap kepada media selepas itu, Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, beberapa jalan raya sedang dalam pembinaan di DUN Kundasang antaranya jalan raya dari simpang Terawas menuju ke Kg. Kaingaran dan dari simpang Bongkud ke Mini Estet Sejahtera (Mesej) di Kampung Mansalu.
“Setakat ini, ini adalah projek pembinaan jalan raya terbesar di sini,” katanya, sambil menambah pembinaan jalan raya tersebut melibatkan kos berjumlah lebih RM240 juta.
Selain itu katanya, pihaknya turut dalam proses permohonan kepada Kerajaan bagi jalan-jalan kampung seperti jalan ke Nalumad dan ada beberapa projek jalan raya pertanian untuk dinaik taraf dalam tempoh dua hingga tiga tahun, dijangka melibatkan kos sebanyak RM40 juta.
Dr. Joachim berkata, pihaknya bersama Pejabat Daerah juga akan mengenal pasti apa keutamaan lain yang diperlukan di DUN Kundasang yang mempunyai 68,000 penduduk.
Deasoka