Tawaran biaya pengajian kepada pelajar Palestin

Tawaran biaya pengajian kepada pelajar Palestin

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan, Usahawan, dan Koperasi, (KUSKOP) akan menawarkan pembiayaan pengajian kepada pelajar Palestin dalam usaha membantu meringankan bebanan mereka.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, tawaran berkenaan meliputi program pengajian dalam bidang koperasi di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM).

UKKM adalah institusi pengajian tinggi pertama di Malaysia yang menawarkan program di peringkat diploma, sarjana muda, sarjana dan pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang keusahawanan koperasi serta dirangka bagi melahirkan golongan profesional dalam kebitaraan keusahawanan koperasi.

Untuk rekod, pengajian peringkat PhD di dalam bidang keusahawanan di UKKMadalah projek perintis kendalian Institut Koperasi Malaysia (IKMa)Program itu bakal melahirkan graduan yang mampu membangunkan industri koperasi di Malaysia, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.

“Semasa dalam Persidangan Menteri-Menteri Koperasi Asia Pasifik yang diadakan di Jordan baru-baru ini , kita telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dua hala dengan Menteri Koperasi Palestin.

“Kita juga telah berbincang bersama agensi-agensi di Jordan dan antara kerjasama boleh dibuat adalah penawaran biasiswa penawaran pembiayaan pengajian sekurang-kurangnya kepada 3 pelajar Palestin”.

“Ini sedang disusuli perbincangan oleh duta besar kita di Jordan dengan kementerian koperasi di Palestin dan juga telah dibincangkan di mesyuarat kabinet kementerian kelmarin dan saya berharap ini merupakan satu bentuk sokongan kita kepada masyarakat Palestin untuk terus membangunkan wilayah mereka”, katanya.

Ewon berkata demikian ketika ditemui media di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri KUSKOP dan agensinya di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur, semalam.

Menurut beliau setakat ini, pihak kementerian masih menunggu kesediaan kerajaan Palestin untuk menghantar pelajar yang terpilih bagi memulakan pengajian di Malaysia.

“Kita juga ambil kira perkembangan semasa di situ dan saya percaya semangat kenegaraan ini kita perlu memberi ruang kepada belia-belia di Palestin untuk belajar”, katanya.

Ewon berkata dalam pertemuan dan perbincangan dua hala dengan Menteri Koperasi Palestin, pemimpin itu turut berminat dan ingin mengetahui bagaimana gerakan koperasi di Malaysia dapat mencetuskan nilai perolehan yang begitu besar, iaitu RM64 bilion pada tahun lepas.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Suriani Ahmad.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|