KPDN Sabah tumpas aktiviti seleweng minyak diesel

KPDN Sabah tumpas aktiviti seleweng minyak diesel

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan iaitu minyak diesel dalam satu operasi di sebuah stor tidak bernombor di kawasan Minintod, Jalan Panglima Banting, Penampang, semalam.

Menurut Pengarahnya, Georgie Abas, serbuan berkenaan dilakukan kira-kira jam 4.30 petang.

“Dalam serbuan itu, kita telah menemui dan menyita sebanyak 7,380 liter minyak diesel iaitu dalam tangki Intermediate Bulk Container (IBC) dalam sebuah Van jenama Toyota (180 liter), skid tank 1 (800 liter), dan skid tank 2 (6,400 liter) yang disyaki untuk dijual kepada industri berserta hos getah dan mesin pump yang disyaki digunakan untuk menyeleweng.

Sebuah stor tidak bernombor yang diserbu dalam operasi KPDN Sabah di kawasan Minintod, Jalan Panglima Banting, Penampang, semalam.

“Jumlah nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM57,067. “Seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai penjaga stor di lokasi serbuan turut ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan, “katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, Georgie berkata, risikan tersebut telah dijalankan selama seminggu oleh KPDN Sabah sebelum serbuan dijalankan.

“Berdasarkan keterangan awal, premis stor tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan minyak diesel di lokasi berkenaan, “katanya.

Tambah beliau, sebagai tindakan lanjut, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu minyak diesel dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

“Siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.  

“Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.

Ujar beliau, pihak KPDN Negeri Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di negeri Sabah agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|