Wanita antara tujuh ditahan disyaki terbabit 3 kes samun

Wanita antara tujuh ditahan disyaki terbabit 3 kes samun

Kota Kinabalu: Seramai tujuh individu termasuk seorang wanita ditahan kerana disyaki terbabit dalam tiga kes samun yang berlaku di sekitar daerah ini pada 14 dan 15 Januari lalu.

Semua suspek berusia 21 hingga 36 tahun itu ditahan pada 15 Januari lalu dan hari ini menerusi beberapa siri serbuan di daerah ini dan Tuaran.

Suspek kes samun ditahan bersama motosikal yang digunakan ketika kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner, Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan mendapati kejadian pertama berlaku jam 10.20 malam, 14 Januari di kawasan parkir sebuah apartment, di sini, membabitkan mangsa seorang wanita yang bekerja sebagai pengurus jualan.

Katanya, mangsa disamun oleh seorang lelaki dan beg sandang mengandungi wang tunai RM15,000 dan beberapa barang berharga dan dokumen mangsa dilarikan oleh suspek dengan menaiki sebuah motosikal ditunggang oleh rakan sejenayah.

Kereta dan telefon bimbit yang dirampas susulan penahanan suspek kes samun di Kota Kinabalu.

“Anggaran kerugian keseluruhan kira-kira RM18,000. Hasil siasatan agresif oleh pasukan polis, berjaya mengesan dan menahan dua suspek pada 15 Januari dan hari ini.

“Turut dirampas wang tunai RM2,500, dua telefon bimbit, dokumen peribadi mangsa dan sebuah motosikal yang digunakan ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jelas Mohd Zaidi lagi, samun kedua berlaku jam 2.08 pagi, 15 Januari lalu, membabitkan pemandu E-Hailing disamun dua suspek di kawasan Manggatal.

Menurutnya, mangsa yang baru selesai menghantar rakannya di kawasan berkenaan ditahan oleh dua lelaki dan salah seorang suspek bersenjatakan kayu dan memaksa mangsa untuk membuka cermin kereta.

“Seorang suspek merampas beg silang serta dompet milik mangsa dan mengambil wang tunai RM70 sebelum kedua suspek melarikan diri.

“Bertindak atas maklumat, kedua-dua suspek termasuk seorang wanita ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes samun berkenaan pada 15 Januari lalu,” katanya.

Beliau berkata, kes samun ketiga berlaku jam 8 malam, 15 Januari lalu, membabitkan mangsa pelajar perempuan di kawasan Sulaman Sentral.

“Dalam kes ini, mangsa disamun dan sebuah telefon bimbitnya berharga RM300 dilarikan. Ketika kejadian mangsa bergelut dengan salah seorang suspek dan turut diseret oleh kenderaan suspek hingga menyebabkan mangsa cedera ringan.

“Suspek berjaya menghilangkan diri bersama dua rakan sejenayah dengan menaiki sebuah kereta.

“Hasil siasatan polis, ketiga-tiga suspek berjaya ditahan hari ini di Tuaran. Kereta yang digunakan oleh suspek turut dirampas,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, semua suspek ditahan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Polis Kota Kinabalu berterima kasih kepada orang awam yang telah membantu menyalurkan maklumat sehingga polis berjaya menyelesaikan ketiga-tiga kes samun ini dalam tempoh 24 jam,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|