Polis terima 2 laporan kes pelajar ditumbuk, ditendang

Polis terima 2 laporan kes pelajar ditumbuk, ditendang

Kota Kinabalu: Polis mengesahkan menerima dua laporan berkaitan kes seorang pelajar lelaki ditumbuk dan ditendang oleh beberapa pelajar lain yang tular menerusi satu rakaman video, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kedua-dua laporan polis itu diterima pada 17 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah

Katanya, dua laporan polis yang diterima itu berkaitan kejadian pergaduhan membabitkan pelajar lelaki di sebuah sekolah di daerah ini.

“Rakaman video kedua-dua insiden ini juga ditularkan di media sosial.

“Sebanyak dua kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja mendatangkan cedera,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, polis tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku dan jenayah di kalangan pelajar termasuk kes mendatangkan cedera dan juga kes buli.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 23 saat yang memaparkan seorang pelajar lelaki ditumbuk dan ditendang oleh beberapa pelajar lain.

Kejadian dipercayai berlaku di sebuah sekolah pelajar lelaki di kawasan Tanjung Aru, di sini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|