Kastam Sabah tumpaskan pengedar dadah, rampas 6.1 kg dadah

Kastam Sabah tumpaskan pengedar dadah, rampas 6.1 kg dadah

Lahad Datu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas sebanyak 6.163 kilogram dadah jenis methamphetamine bernilai RM221,886 dalam dua serbuan berasingan, baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah JKDM, Mohd Nasir Deraman berkata, serbuan pertama dijalankan jam 3.30 petang, pada 5 Januari lalu di hadapan sebuah kedai Jalan Silabukan, di sini.

Kotak berisi dadah jenis methamphetamine yang dirampas pasukan serbuan JKDM Sabah.

Katanya, selepas intipan dilakukan beberapa hari, pasukan serbuan cuba menahan sebuah kenderaan kerana disyaki membawa barang larangan dipercayai dadah.

“Menyedari kehadiran pasukan serbuan, suspek berusaha melarikan diri daripada ditahan pasukan serbuan dan melanggar kenderaan JKDM.

“Dalam situasi amat cemas dan terancam pasukan serbuan terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar hadapan dan belakang kenderaan suspek untuk mengawal keadaan.

“Namun suspek berjaya keluar daripada kepungan dan memecut laju kenderaan menyebabkan pasukan serbuan mengejar hingga ke sebuah simpang di Kampung Layung,” katanya dalam sidang media di Dewan Datuk Mohd Yunus, Wisma Kastam Lahad Datu, hari ini.

Mohd Nasir berkata, kenderaan suspek berhenti di kawasan jalan mati lalu berjaya ditahan.

Jelasnya, hasil pemeriksaan menemui dadah disyaki methamphetamine dengan berat kasar 3.083 kilogram dan nilai pasaran bagi dadah itu dianggarkan berjumlah RM111,006

“Turut dirampas sebuah kenderaan buatan tempatan dianggarkan bernilai RM43,000.

“Seterusnya seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki bukan warganegara masing-masing berusia 24 dan 23 tahun ditahan dan direman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Manakala katanya, serbuan kedua dijalankan jam 8.15 pagi pada 12 Januari lalu di sebuah terminal pusat kiriman dan penerimaan barang atau bungkusan Tawau.

“Hasil pemeriksaan rapi pasukan serbuan menemui kotak disyaki mengandungi dadah berbahaya dipercayai jenis methamphetamine dengan berat kasar 3.08 kilogram dan nilai pasaran dianggarkan berjumlah RM110,880.

“Modus operandi bagi kes ini adalah menggunakan perkhidmatan kurier dengan memberi maklumat palsu di dalam slip pos (consignment note) seperti alamat tidak wujud selain perniagaan atau syarikat tidak aktif,” katanya.

Tambah beliau lagi, kes sedang dalam siasatan lanjut bagi mengesan suspek yang terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|