JIM pindahkan 107 warga Indonesia

JIM pindahkan 107 warga Indonesia

Kota Kinabalu: Seramai 107 pendatang asing tanpa izin (PATI) dipindahkan dari Pelabuhan Tawau untuk balik ke negara asal, semalam.

Semua PATI yang ditahan di Depot Imigresen Tawau dan Sandakan itu dipindahkan menggunakan pengangkutan laut ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.

PATI warganegara Indonesia dihantar pulang ke negara asal mereka.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pemindahan itu membabitkan seramai 96 lelaki dan 11 wanita berusia lingkungan 14 hingga 63 tahun.

“Ini adalah program pemindahan siri 2 untuk kategori Usir melalui laut bagi tahun 2023 ke negara asal masing-masing.

Semua PATI dipindahkan menggunakan pengangkutan laut ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.

“Semua PATI yang ditahan di Depot Imigresen ini melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

SH Sitti Saleha berkata, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.

Sehubungan itu, SH Sitti Saleha mengingatkan semua warga asing supaya sentiasa memastikan diri memiliki dokumen perjalanan sah dan permit kerja yang dibenarkan.

Katanya, Jabatan Imigresen Sabah akan terus melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

“Semua agensi penguatkuasaan di negeri Sabah juga akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

“Operasi Pemindahan ini adalah merupakan sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di seluruh Negeri Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|