Pergerakan tanah di Kampung Lebak Moyoh, penghuni diarah pindah

Pergerakan tanah di Kampung Lebak Moyoh, penghuni diarah pindah

Kota Belud: Penghuni di sebuah rumah di Kampung Lebak Moyoh, di sini, diarahkan berpindah selepas berlaku pergerakan tanah di kawasan berkenaan, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 7.34 pagi.

Lokasi pergerakan tanah runtuh di kawasan bukit Kampung Lebak Moyoh, Kota Belud.

Katanya, sepasukan empat anggota dan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud terus dikerah ke lokasi untuk menjalankan operasi pemantauan.

“Mengikut kepada maklumat, penduduk melaporkan berlaku pergerakan tanah runtuh di kawasan bukit kampung berkenaan.

Pasukan bomba bersama JKR menjalankan pemantauan di lokasi berlakunya pergerakan tanah di bukit Kampung Lebak Moyoh, Kota Belud.

“Pasukan Bomba terus menjalankan pemantauan di lokasi dan menasihati penghuni di kawasan sekitar untuk berpindah sekiranya pergerakan tanah terus berlaku,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba juga bertindak memasang sawar-sawar di sekitar lokasi kejadian.

“Pasukan operasi juga terus berada di lokasi untuk sebarang kemungkinan berlakunya runtuhan tanah yang lebih besar.

“Bagaimanapun, sekitar jam 11 pagi, berdasarkan kepada penelitian Jabatan Kerja Raya (JKR), hanya sebuah rumah yang diarahkan untuk dikosongkan.

“Kerja-kerja pemantauan serta pemeriksaan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa oleh pihak polis dan pasukan bomba secara berkala,” katanya.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.44 tengah hari.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|