‘Mr Sandman’ kembali beraksi dengan arca pasir sempena Tahun Baharu Cina

‘Mr Sandman’ kembali beraksi dengan arca pasir sempena Tahun Baharu Cina

Kota Kinabalu: ‘Mr Sandman’ kembali beraksi dengan menghasilkan seni arca pasir yang lebih mecabar dan unik sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini.

Benjamin David, 62, berkata, ia pertama kali beliau menterjemahkan ucapan untuk perayaan itu menerusi karyanya.

‘Mr Sandman’ bersama arca pasir rekaannya sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Walaupun tidak menyambut perayaan itu secara langsung, namun beliau sangat berbesar hati untuk menghasilkannya sebagai tarikan kepada masyarakat setempat.

“Untuk menghasilkan karya ini mengambil masa, kerana saya tidak selalu berada di sini. Mungkin hanya dua hingga tiga jam sehari.

Arca pasir ucapan ‘Gong Xi Fa Cai’.

“Oleh itu, ukiran kali ini mengambil tempoh masa dalam lima hari untuk disiapkan, iaitu bermula Isnin lalu,” katanya ketika ditemui di tempat letak kereta Pantai Tanjung Aru, di sini, hari ini.

Menceritakan inspirasi rekaan arca pasir kali ini, beliau berkata, ia merupakan gabungan beberapa elemen yang menjadi simbolik kepada perayaan itu.

Arca pasir Tarian Singa, yang merupakan simbolik perayaan Tahun Baharu Cina.

Menurut beliau, antara yang dihasilkan adalah arca pasir arnab memegang tanda ucapan ‘Gong Xi Fa Cai’, individu yang mengepalkan tangan serta Tarian Singa.

Tambahnya, setakat ini, ramai yang sudah mula berkunjung untuk melihat sendiri karyanya itu termasuk pelancong dari Korea, Jepun, Australia dan London.

“Kalau diikutkan belum sampai setahun saya lakukan ini yang mana pada 14 Februari tahun lalu, saya bermula daripada seseorang yang tidak tahu apa-apa mengenai ukiran arca pasir.

“Namun, berkat usaha dan kesabaran, di mana bila rosak saya akan terus perbaiki sehingga saya mempelajari kemahiran ‘touch up’.

“Ini merupakan karya pertama saya untuk tahun baharu. Tapi, jika dilihat dari tahun lepas, saya anggarkan sudah membuat dalam 50 arca pasir dengan membawa pelbagai tema,” katanya.

Jelas Benjamin, untuk dapat menghasilkan sebuah karya itu tidak mudah dan tentunya datang dengan cabaran yang tersendiri.

Tidak ingin menjadikan ia sebagai alasan untuk berputus asa, beliau nekad untuk terus memperbaiki kemahiran agar dapat meneruskan hobinya itu.

“Saya tidak akan berhenti untuk menghasilkan arca pasir ini, selagi saya diberi keizinan daripada pihak penguatkuasa dan orang ramai.

“Sempena dengan perayaan Tahun Baharu Cina ini, saya harap ia diraikan bersama serta memupuk perpaduan di kalangan rakyat Sabah dan Malaysia yang berbilang kaum,” katanya lagi.

Beliau mula mendapat perhatian umum apabila menghasilkan karya arca pasir bertemakan Krismas, Hari Kemerdekaan, Pesta Kaamatan dan juga flora serta fauna.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|