Tokan dadah wanita warga asing ditahan

Tokan dadah wanita warga asing ditahan

Tawau: Wanita warga asing dipercayai tokan dadah ditahan polis dalam serbuan di kawasan Kampung Kuala Merotai, di sini, semalam.

Wanita berusia 37 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai, jam 1.40 petang.

Empat lelaki disyaki penagih dadah ditahan dalam serbuan di Kampung Kuala Merotai, Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas maklumat, polis menjalankan serbuan dan pemeriksaan di sebuah rumah atas air di kawasan kampung berkenaan.

Katanya, pemeriksaan mendapati seorang wanita yang berada di ruang tamu rumah itu dalam keadaan mencurigakan.

Wanita percayai tokan dadah ditahan polis dalam serbuan di Kampung Kuala Merotai, Tawau.

“Pemeriksaan ke atas suspek menemui beg kecil mengandungi 17 peket plastik lutsinar berlainan saiz berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 54.40 gram.

“Pemeriksaan juga mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, katanya polis turut menahan empat lelaki warga tempatan berusia 30 hingga 52 tahun disyaki penagih dadah di kawasan Kampung Kuala Merotai.

“Tangkapan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau. Ujian air kencing mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis Methamphetamine

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|