Tawau: Dua wanita mengalami sesak nafas apabila rumah didiami mereka di Kampung Kinabutan, Jalan Apas Batu 5, di sini, terbakar awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, rumah dua tingkat jenis kekal itu terbakar sepenuhnya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.09 pagi sebelum sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, kebakaran dibahagian bawah telah dipadam oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Operasi terkawal jam 4.32 pagi dan terdapat dua penghuni wanita mengalami sesak nafas dan diberikan rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, tindakan pemeriksaan dijalankan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi berkenaan.
“Operasi ditamatkan pada 4.55 pagi,” katanya.
-Deasoka