Ketengahkan hasil kerja penghuni penjara, bangunkan sosio-ekonomi rakyat

Ketengahkan hasil kerja penghuni penjara, bangunkan sosio-ekonomi rakyat

Kota Kinabalu: Setiap hasil kerja oleh penghuni di penjara dialu-alukan untuk diketengahkan dalam kalangan masyarakat untuk membantu membangunkan sosio-ekonomi rakyat di negeri ini.

Menteri Pembangunan Perindustrian, Phoong Jin Zhe berkata, ia termasuklah hasil kerja seperti perabot, hasil kraftangan mahupun produk-produk makanan.

Menurut beliau, misalnya, semua hasil kerja tangan penghuni penjara boleh didapati di pusat-pusat Industri Kecil Sederhana (IKS) mengikut daerah-daerah berdekatan dengan institusi penjara di negeri ini.

“Sekiranya tidak melanggar mana-mana peraturan penjara di Malaysia, saya menjemput Jabatan Penjara Malaysia khususnya di negeri Sabah agar mempamerkan produk-produk yang telah dihasilkan oleh penghunii di ekspo-ekspo keusahawanan yang dianjukan kementerian.

“Bagi tujuan ini, biar masyarakat kita tahu bahawa produk yang dihasilkan oleh penghuni penjara boleh bersaing dengan mana-mana produk yang lain di pasaran ekonomi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Program Karnival Kerjaya Orang Yang Diparol (ODP), Orang Bebas Berlesen (OBB) Dan Orang Yang Diselia (ODS) bersama bakal majikan, di Pusat Penjara Kota Kinabalu, semalam.

Teks ucapan perasmian beliau itu disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Benedick Bisoni.

Phoong turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Jabatan Penjara Malaysia khasnya negeri Sabah kerana berjaya meningkatkan jumlah syarikat korporat dan majikan yang menyertai inisiatif itu.

“Kini, terdapat 20 syarikat yang telah berkolabrasi dengan Jabatan Penjara di Sabah di bawah Program CSI. Saya berharap agar ia akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

“Selain itu, saya juga merasa bangga kerana terdapat syarikat atau majikan yang dimiliki oleh bekas banduan yang kini turut serta membantu dalam merealisasikan pelaksanaan Program Pemulihan Luar Tembok ini,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, usaha untuk membantu proses pemulihan banduan bukan terletak di bawah Jabatan Penjara Malaysia semata-mata, tetapi komuniti luar turut memainkan peranan penting.

Tambahnya, penglibatan komuniti luar dan bakal majikan serta syarikat korporat dalam karnival kerjaya seperti ini bermaksud peluang bagi Jabatan Penjara Malaysia mencapai objektif 2/3 banduan mengikuti Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di luar tembok pada tahun 2030 mudah tercapai.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|