Kerajaan negeri hargai peranan media di Sabah

Kerajaan negeri hargai peranan media di Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menghargai peranan dan kerjasama media selama ini terutama dalam memberi laporan berkaitan segala usaha yang telah, sedang dan akan diambil oleh kerajaan di negeri ini, termasuklah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Sehubungan itu, beliau meminta pengamal media di negeri ini terus memberi sokongan dan membantu dalam melaporkan program yang dilaksanakan kerajaan agar dapat diketahui oleh rakyat di peringkat akar umbi.

“Sebab itu, sebagai tanda sokongan berterusan dan menghargai sumbangan media di Sabah, saya telah membuat keputusan pada tahun 2022 untuk meningkatkan jumlah sumbangan kerajaan negeri bagi penganjuran Anugerah Kewartawanan Kinabalu daripada RM60,000 sebelum ini kepada RM100,000.

“Jumlah yang sama juga diberikan bagi penganjuran Anugerah Kewartawanan Kinabalu pada tahun ini. Peningkatan sumbangan ini juga adalah pengiktirafan kerajaan negeri kepada media sebagai salah satu rakan kongsi yang penting dalam membantu menyebarkan dasar dan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri,” katanya sempena Majlis Aidilfitri Ketua Menteri bersama Media 2024 di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata media turut memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan rakyat dan negeri.

“Menerusi laporan media ia kadangkala menjadi antara sumber maklumat kepada kerajaan untuk mengetahui apa yang berlaku di peringkat akar umbi, selain rintihan rakyat.

“Saya juga meminta media supaya mengamalkan sikap bertanggungjawab, profesional dan beretika dalam menyampaikan laporan agar rakyat tidak keliru hingga menimbulkan rasa bimbang.

“Oleh itu, saya menggesa media arus perdana supaya menyediakan berita yang tepat dan berfakta bagi menangkis pelbagai berita palsu yang dilaporkan di media sosial,” katanya.

Mengenai sambutan raya bersama media itu, Ketua Menteri berkata majlis ini adalah sebagai tanda terima kasih dan menghargai peranan penting pengamal media sama ada media cetak, elektronik dan portal dalam membuat liputan program-program dan aktiviti anjuran kerajaan negeri.

Sempena majlis itu, Ketua Menteri turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM100,000 untuk penganjuran Anugerah Kewartawanan Kinabalu 2024 kepada Muguntan.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharram; Pengarah Media dan Komunikasi, Jabatan Ketua Menteri, Datuk Lucy Irene Yong; Presiden Persatuan Wartawan Sabah, Datuk Muguntan Vanar; Presiden Kota Kinabalu Journalists Association (KKJA), Jimmy Goh; Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Sabah, Salmah Hashim dan Pengarah Jabatan Penerangan Malaysa, Sabah, Jainisah Mohd Noor.

Lebih 250 pengamal media termasuk ketua-ketua biro dan pengarang menghadiri majlis berkenaan.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|