Beri peluang bekas banduan, individu bawah parol untuk pulih

Beri peluang bekas banduan, individu bawah parol untuk pulih

Kota Kinabalu: Beri peluang kepada bekas banduan atau mereka yang di bawah parol untuk kembali semula ke dalam masyarakat dan bekerja sebagai warganegara yang patuh kepada peraturan.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Datuk Ibrisam Abdul Rahman berkata, matlamat utama Jabatan Penjara Malaysia adalah mengurangkan pengulangan jenayah dan kemasukan semula Penghuni ke Penjara (Residivis).

Menurut beliau, antara usaha yang dilakukan untuk mencapainya adalah melalui pemerkasaan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

“Mengikut rekod, kadar Residivis Untuk Pemulihan Dalam Komuniti hanya 0.36 peratus (2018-2022), berbanding dengan kadar Residivis Penghuni yang tidak berjaya menyertai Program PDK iaitu 14 peratus.

“Ia membuktikan bahawa usaha PDK perlu diperluaskan,” katanya pada Majlis Perasmian Program Karnival Kerjaya Orang Diparol (ODP), Orang Bebas Berlesen (OBB) dan Orang Yang Diselia (ODS) bersama Majikan melalui Program Corporate Smart Intership (CSI), di Pusat Penjara Kota Kinabalu, semalam.

Katanya, penganjuran Program Karnival Kerjaya dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah ini membuktikan bahawa pihak kerajaan negeri juga komited dalam merealisasikan Aspirasi Jabatan membantu ODP dan OBB.

“Antara peluang pekerjaan yang ditawarkan kepada ODP dan OBB meliputi sektor perladangan dan penternakan, sektor perkilangan, sektor perkhidmatan.

“Ianya meliputi pekerjaan seperti kedai roti dan pekerja restoran, ‘car wash’, penjaga tempat letak kereta dan lain-lain.

“Justeru, dengan adanya peluang pekerjaan ini maka mereka diberikan latihan dan kemahiran bekerja sepanjang menjalani perintah parol dan pelepasan berlesen,” katanya.

Tambah Ibrisam, beliau percaya bahawa pihak syarikat dan majikan sentiasa komited dalam membantu ODP dan OBB menjadi pekerja yang produktif, berdisipin dan mahir di masa hadapan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|