Pasar raya Bataras, kilang perabot musnah terbakar

Pasar raya Bataras, kilang perabot musnah terbakar

Kota Kinabalu: Sebuah pasar raya Bataras dan kilang perabot di Rampayan Jalan Tuaran Bypass, Manggatal, di sini, musnah dalam kebakaran pagi tadi.

Kejadian jam 10.30 pagi itu menyebabkan pasar raya berkenaan mengalami kerugian dianggarkan RM1.5 juta.

Pasukan bomba giat memadam kebakaran membabitkan kilang perabot di Rampayan, Jalan Tuaran Bypass, Manggatal, Kota Kinabalu.

Manakala anggaran kerugian kilang perabot tidak dapat dipastikan.

Ketua Zon I Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Hamsa Isnurdini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.39 pagi.

Keadaan pasar raya Bataras yang musnah terbakar.

Katanya, seramai 57 pegawai dam anggota bersama 10 jentera dari empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu Lintas, Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran dikerah ke lokasi kebakaran.

“Sebaik tiba di lokasi, operasi pemadaman dijalankan dan anggota bomba mengalami sedikit masalah disebabkan oleh tekanan air di tempat kejadian.

“Bagaimanapun kita dapat mengawal api dengan baik menggunakan air dari jentera tangki,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, api berjaya dikawal daripada terus merebak ke bangunan berhampiran.

“Pegawai dan anggota bomba dapat mengawal api daripada terus merebak ke bangunan berhampiran iaitu premis menjual perabot, dan beberapa premis lain serta rumah. Kita anggaran lebih kurang 1.8 juta yang diselamatkan.

“Tetapi yang kita tidak dapat selamatkan pasar raya ini dan satu gudang milik pasar raya berkenaan serta kilang perabot yang musnah sepenuhnya,” katanya.

Menurutnya, punca kebakaran berkenaan masih dalam siasatan pasukan bomba.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan bomba,” katanya.

Operasi memadam kebakaran turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|