Pelantikan Kabinet baharu kuasa prerogratif Ketua Menteri

Pelantikan Kabinet baharu kuasa prerogratif Ketua Menteri

Kota Kinabalu: Pelantikan jemaah menteri dalam Kabinet baharu negeri yang diumumkan semalam adalah mengikut kuasa prerogatif Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata semua pelantikan berkenaan termasuk dirinya juga dibuat berdasarkan Perlembagaan Negeri Sabah.

“Pelantikan ini adalah preroratif atau hak istimewa Ketua Menteri Sabah menurut perlembagaan. Beliau berhak selaku Ketua Menteri untuk memilih barisan Kabinetnya sendiri.

“Oleh itu, semua nama yang diumumkan untuk membarisi Kabinet negeri Sabah yang baharu adalah sah,” katanya ditemui media selepas Sesi Taklimat Kementerian Kerja Raya Sabah di Sembulan, dekat sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata demikian bagi menjawab dakwaan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berhubung pelantikannya selaku Timbalan Ketua Menteri tidak mewakili UMNO selain tidak diiktiraf UMNO Sabah.

Terdahulu, Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat melapor diri sebagai Menteri Kerja Raya Sabah yang baharu di ibu pejabat kementerian berkenaan di Sembulan.

Mengulas lanjut, Shahelmey berkata, segala keputusan berkaitan UMNO Sabah diserahkan kepada pengurusan tertinggi UMNO Pusat untuk menangani isu terbabit.

Selain Shahelmey, seorang lagi ADUN UMNO yang dilantik dalam Kabinet negeri semalam ialah ADUN Sugut, Datuk James Ratib memegang portfolio Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat yang sebelum ini disandang Shahelmey.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|