Kota Kinabalu: Parti Warisan (WARISAN) mendakwa tindakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengadakan majlis angkat sumpah jemaah menteri baharu, semalam membelakangi saranan pembentukan Kerajaan Perpaduan Sabah.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata WARISAN memberi sokongan penuh terhadap saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari lalu untuk pembentukan sebuah kerajaan perpaduan di Sabah.
Katanya, saranan itu juga mendapat persetujuan dan sokongan daripada UMNO dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang turut hadir pada pertemuan itu.
“Penubuhan secepat mungkin sebuah Jawatankuasa Khas juga ditetapkan bagi merungkai butiran-butiran berkaitan kepimpinan Kerajaan Perpaduan Sabah yang bertujuan untuk menyelesaikan kemelut politik di negeri ini.
“Namun, pada hari ini (semalam), majlis angkat sumpah Ahli Jemaah Menteri baharu Sabah telah berlangsung walaupun ia tidak menggambarkan satu kerajaan perpaduan.
“Sekali gus, tindakan Datuk Hajiji Noor telah membelakangi saranan Perdana Menteri dan melanggar persetujuan dan kesepakatan yang telah dicapai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, persetujuan dan kesepakatan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan di Sabah yang terdiri daripada semua parti mengganggotai kerajaan di peringkat persekutuan akan dapat mengatasi kemelut politik di Sabah dan seterusnya memantapkan pemerintahan negara.
-Deasoka