Sabah alu-alukan kedatangan pelabur asing – Hajiji

Sabah alu-alukan kedatangan pelabur asing – Hajiji

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri mengalu-alukan kedatangan pelabur asing untuk melabur di Sabah, termasuk dari negara China.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata banyak sektor boleh diterokai pelabur yang berminat datang ke negeri ini untuk menanam modal.

“Sabah sentiasa mengalu-alukan pelabur asing dari mana-mana negara yang berminat untuk melabur di negeri ini. Banyak sektor yang boleh diterokai bersama.

“Kita merupakan negeri yang mesra pelabur dan berharap akan menjadi destinasi menarik bagi pelaburan.

“Ini akan membantu merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Huazhi (China) Limited Company di pejabatnya di Menara Kinabalu, hari ini.

Huazhi diketuai oleh Naib Presidennya, Ma Haitao.

Turut hadir ialah Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Datuk Rubin Balang yang membawa rombongan itu ke Sabah.

Menurut Ma, Huazhi yang terlibat dalam banyak sektor perniagaan di luar negara, berminat melabur dalam sektor tenaga, minyak dan gas, produk berteknologi tinggi, perikanan laut dalam dan lain-lain di Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|