Tingkatkan kesiapsiagaan dan titik beratkan keperluan

Tingkatkan kesiapsiagaan dan titik beratkan keperluan

Kota Kinabalu: Sentiasa menitikberat keperluan serta perancangan rapi dalam meningkatkan kesiagaan aset ketenteraan dan infrastruktur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Itu antara keutamaan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany sepanjang menerajui TLDM sejak November 2018 lalu.

Mohd Reza melambai kepada tiga aset HOM ketika Program Penghargaan Panglima Tentera Laut di Armada Timur, Sepanggar, Kota Kinabalu.

Berdasarkan kepada rekod perkhidmatan selama 42 tahun, Mohd Reza sememangnya seorang yang bertanggungjawab dan proaktif memainkan peranan bagi menentukan program pembangunan semula Armada TLDM iaitu Pelan Transformasi 15 to 5 diteruskan.

Mohd Reza berkata, slogan “We exist because of the Fleet” sentiasa menjadi pegangannya dalam memacu TLDM untuk menjadi sebuah angkatan laut yang kredibel dan versatil dalam memelihara keselamatan maritim negara.

Mohd Reza menaiki kenderaan khas ketika memeriksa barisan kehormat pada Perbarisan Program Penghargaan Panglima Tentera Laut di Armada Timur, Sepanggar, Kota Kinabalu.

Katanya, perancangan rapi sentiasa digariskan bagi meningkatkan kesiagaan aset ketenteraan dan infrastruktur termasuk di Armada Timur.

“Itu termasuklah Kapal Misi Pesisir (LMS) Batch Pertama, pemerkasaan fungsi Unmanned Aerial System (UAS), perolehan Helikopter Operasi Maritim (HOM) serta pewujudan unit Skuadron 503 dan Stesen Udara Kota Kinabalu (SUKK) yang signifikan dalam pengawasan maritim di Sabah dan Sarawak.

“Kita juga mengutamakan pembangunan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Bintulu, Sarawak dan memantau proses naik taraf infrastruktur Markas Wilayah Laut 2, Sandakan termasuk jeti operasi markas berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Penghargaan Panglima Tentera Laut yang diadakan di Armada Timur, di sini, hari ini.

Sepanjang program itu, Mohd Reza diraikan dalam program yang berlangsung selama tiga hari bermula 10 Januari lalu yang berkesinambungan daripada persaraan beliau.

Pelbagai program pengisian seperti Majlis Makan Malam Beradat, Perbarisan Penghargaan, Majlis Ramah Mesra, Fleet Review serta Street Lining melibatkan seluruh warga TLDM.

Sementara itu, Mohd Reza berkata, walaupun bakal menyerahkan legasi kepada pucuk pimpinan terbaharu, beliau berharap kerajaan persekutuan akan terus memberi perhatian serius terhadap pemerkasaan keupayaan TLDM.

Katanya, selain memastikan projek Kapal Kombat Pesisir (LCS) berjaya, perolehan LMS Batch Kedua juga perlu dititikberatkan.

“Kejayaan program ini penting bagi bajet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dipertingkat kepada 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara berperingkat,”
katanya.

Sementara itu, Mohd Reza mengakhiri lawatan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dengan lambaian penghormatan terakhir daripada warga TLDM melalui Street Lining sebelum meneruskan program pengunduran beliau di Sandakan dan Tawau.

Beliau dijadualkan untuk menyerah tugas secara rasmi pada 27 Januari ini di Kuala Lumpur.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|