PENAMPANG: Tiga lelaki ditahan polis selepas didapati memandu dengan keadaan di bawah pengaruh alkohol dalam operasi OP Mabuk berhampiran stesen minyak Jalan Bundusan, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, ketiga-tiga lelaki berkenaan kini ditahan mengikut Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selepas ujian yang dijalankan terhadap mereka melebihi tahap alkohol ditetapkan.
“Kesemua mereka telah ditahan atas kesalahan kesalahan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang telah ditetapkan.
“Sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000,” katanya.
Menurut beliau, selain penahanan tersebut, OP Mabuk terbabit turut menyaksikan sepuluh saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya termasuklah tidak memiliki lesen memandu.
“Operasi kali ini diketuai oleh Ketua BSPT IPD Penampang, Inspektor Jupri Usman dengan dibantu oleh lapan anggota polis berjalan dengan lancar dan telah berakhir jam 3.30 pagi tadi.
“Seramai 25 individu dan 20 kenderaan telah diperiksa dan operasi kali ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini,” ulasnya.
Operasi ini juga antara lainnya bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya supaya sentiasa patuh dengan undang-undang lalu lintas yang telah ditetapkan.
Deasoka