KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah bersedia menghadapi kemungkinan pilihan raya negeri (PRN) pada bila-bila masa.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya telah melakukan persiapan terbaik melibatkan koordinasi di semua peringkat termasuklah parti-parti komponen untuk menghadapi situasi tersebut.
Menurut beliau, BN Sabah juga berada dalam keadaan siap siaga sekiranya PRN Sabah diawalkan daripada tempoh yang ditetapkan.
“Jika sekiranya sebarang kemungkinan samada dalam keadaan terdekat, atau pertengahan atau akhir tahun PRN akan diadakan, jentera UMNO dan BN sentiasa bersiap siaga ,” katanya.
Baru-baru ini Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Gabungan Rakyat Sabah (PGRS) Datuk Seri Hajiji Noor telah membayangkan PRN Sabah berkemungkinan boleh berlaku awal dalam satu kenyataannya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Agung Tahunan (PAT) PGRS di SICC, Kota Kinabalu.
Sementara itu, Bung Moktar berkata, UMNO/BN merupakan sebuah organisasi politik yang berstruktur dari peringkat pusat, negeri, bahagian dan cawangan dan oleh yang demikian, pihaknya tidak berhadapan dengan masalah besar berhadapan PRN ke-17 dan telah pun digerakkan hanya perlu penambahbaikan sehingga tarikh PRN sebenarnya diadakan.
“Bukan setakat itu di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) juga telah kita bentuk dan gerakkan dan sentiasa dikemaskinikan ini termasuklah mengenal pasti ahli parti, pengundi dan sebagainya” katanya.
Deasoka