Mayat ditemui dalam semak mangsa bunuh

Mayat ditemui dalam semak mangsa bunuh

Tawau: Mayat lelaki yang ditemui dalam kawasan semak di Ladang Kelapa Sawit Persendirian, Jakan Anjur Juara, Batu 5, di sini, hari ini, dipercayai mangsa bunuh.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki tempatan mengatakan menemui mayat lelaki terbaring di kawasan berkenaan jam 11.46 pagi.

Katanya, sepasukan polis kemudian digerakkan ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan menemukan mayat lelaki dalam keadaan terbaring dan membengkak dipercayai sudah beberapa hari di lokasi kejadian.

“Turut ditemui bersebelahan dengan mayat mangsa sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati tiada tanda jelas kecederaan luaran dan tiada sebarang identiti ditemui pada mayat terbabit.

Jasmin berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tawau untuk bedah siasat.

“Tarikh bedah siasat belum diketahui dan siasatan lanjut bagi kes ini masih dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar di media sosial hari ini memaparkan mayat mangsa yang lengkap berpakaian dalam keadaan kembung terbaring di kawasan semak.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|