Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak mematuhi keputusan UMNO Sabah menarik sokongan kepada kerajaan negeri baru-baru ini sedia berdepan tindakan mengikut pindaan perlembagaan parti itu.
Perkara itu berkaitan dengan keputusan yang dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) minggu lalu yang antara lain menetapkan ahli menang pilihan raya hilang keahlian secara automatik jika menyertai parti lain.
ADUN Sugut, Datuk James Ratib berkata, terserah kepada UMNO mengambil tindakan terhadap beliau dan empat lagi ADUN lain mengikut pindaan itu.
Bagaimanapun, James mempersoalkan sama ada beliau boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan dalam pindaan itu memandangkan mereka bertindak mempertahankan kerajaan negeri disertai UMNO Sabah sebelum ini.
“Kita serahkan kepada pucuk pimpinan sama ada kami sebagai wakil rakyat yang mempertahankan kerajaan sedia ada di Sabah patut dikenakan tindakan sedangkan UMNO sendiri yang menarik sokongan dari kerajaan.
“Jadi kita serahkan kepada mereka kerana mereka yang membuat usul dalam PAU. Kita terima apa saja keputusan yang mereka buat kerana kita ini adalah ahli parti dan wakil rakyat,” katanya pada sidang media, di sini.
James yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat turut mengulangi pendirian mereka sebelum ini yang mempertahankan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Kita mempertahankan kerajaan yang ada pada hari ini kerana tiada masalah yang memerlukan kita mahu mengubah kerajaan. Rakyat sudah muak dengan permainan politik yang ada pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata setakat ini belum ada apa-apa tindakan daripada UMNO terhadapnya, namun menjelaskan bersedia berdepan apa saja tindakan yang akan diambil.
“Seperti kata Datuk Bung (Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin), ‘game still on’, jadi kita tunggu sajalah apa yang dmaksudkan dengan ‘game still on’ itu.
“Apa yang penting kita masih berkhidmat kepada rakyat seperti biasa, politik adalah politik, rakyat adalah rakyat dan kita akan jalankan tugas kita sebagai wakil rakyat dan juga menteri untuk membangunkan rakyat Sabah yang masih jauh ketinggalan.
“Banyak lgi masalah belum selesai di luar sana, jalan raya belum selesai, kos sara hidup masih tinggi dan sebagainya. Jangan asyik berpolitik saja, cukuplah berpolitik, kita tumpukan kepada rakyat.
“Politik adalah politik, parti biarlah parti yang urus. Apa saja tindakan yang mereka ambil terhadap kami terutama kami yang lima orang ini, kami terima seadanya,” katanya.
Empat lagi ADUN lain yang tidak menyokong tindakan UMNO Sabah ialah ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya, Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit) dan Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk).
Sementara itu, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya negeri, turut mengakui belum menerina sebarang surat berhubung tindakan terhadapnya.
“Apa yang saya boleh komen ialah setakat ini saya masih ahli UMNO,” katanya pada sidang media di Penampang, hari ini.
-Deasoka