Projek UWSS bantu tambah kapasiti bekalan air di Kota Kinabalu Selatan, Putatan

Projek UWSS bantu tambah kapasiti bekalan air di Kota Kinabalu Selatan, Putatan

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri mencadangkan pelaksanaan Projek Urgent Water Supply Scheme (UWSS) sebagai langkah menangani masalah kekurangan bekalan air bersih di Putatan dan Kota Kinabalu Selatan.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pelaksanaan pelan itu dijangka akan mengambil tempoh antara enam bulan hingga 18 bulan.

Shahelmey melakukan lawatan kerja di Loji Rawatan Air Moyog, Penampang.

“Mereka (Jabatan Air Negeri Sabah -JANS) telah melaksanakan UWSS di Loji Rawatan Air Telibong, Tuaran yang berkapasiti lima juta liter sehari (MLD) untuk memberi tambahan kepada pengeluaran air terawat.

“Jadi kita mahu satu UWSS juga dibuat yang boleh membekalkan air untuk daerah Putatan dan juga Kota Kinabalu Selatan. Namun, ada proses-proses pemerolehan dan sebagainya jadi ia mungkin memakan masa dalam enam bulan hingga 18 bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Loji Rawatan Air (LRA) Moyog, Penampang, hari ini.

Shahelmey berkata, beliau dimaklumkan bahawa kapasiti produksi air bagi LRA Moyog dan LRA Kasigui mampu menghasilkan sehingga 235 MLD untuk dibekalkan kepada penduduk di Putatan dan Kota Kinabalu Selatan.

“Terdapat juga usaha untuk kita menambah produksi sedia ada, memandangkan permintaan yang diperlukan sekarang adalah melebihi produksi sedia ada.

“Produksi sekarang adalah 235 MLD, manakala permintaan adalah sekitar 250 MLD, jadi berlaku defisit,” katanya.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke beberapa kawasan yang dilaporkan mengalami gangguan bekalan air di daerah Putatan.

“Pada minggu lepas apabila kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan di LRA Moyog, ia telah memberi satu kesan yang agak serius kepada bekalan air bagi penduduk di sekitar daerah berkenaan dan Kota Kinabalu Selatan.

“Saya difahamkan bahawa bermula semalam bekalan air telah kembali pulih. Namun, tekanan air masih dalam keadaan yang rendah kerana jumlah permintaan masih melebihi jumlah yang dapat dibekalkan.

“JANS masih melaksanakan program catuan bekalan air secara berjadual bagi memastikan penduduk-penduduk mendapat bekalan air bersih dalam kehidupan seharian mereka,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|