KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan tiga pembantu penguat kuasa kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM10,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap sebuah syarikat perkakasan dan pengangkutan yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 4 petang dan 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara Januari 2023 hingga Oktober 2024.
“Mereka disyaki menerima wang rasuah secara tunai dan juga bayaran bulanan sebanyak RM500 melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi pihak ketiga,” katanya.
Difahamkan, rasuah tersebut dipercayai sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori milik syarikat berkenaan yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
