KPDN Sabah pantau isu bekalan telur ayam, minyak masak

KPDN Sabah pantau isu bekalan telur ayam, minyak masak

Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah akan menjalankan pemantauan bekalan barangan di seluruh Sabah bagi memastikan masalah kekurangan bekalan barangan seperti telur ayam dan minyak masak tidak berulang.

Pemantauan yang bermula 15 hingga 29 Januari di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai untuk membeli belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib berkata, isu kekurangan bekalan telur ayam dan minyak masak terus mendapat perhatian pihak kementerian.

Katanya, kementerian sentiasa memantau perkara itu dengan kerjasama KPDN Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah bagi memastikan rakyat sentiasa memperoleh bekalan barangan yang mencukupi terutama pada musim perayaan.

“Saya arahkan bukan sahaja pihak KPDN dan Jabatan Veterinar untuk memantau bekalan barangan, malah pihak kementerian turut sama membuat pemantauan supaya tidak akan berulang.

“Mana-mana individu atau rakyat yang mempunyai segala kemusykilan berkaitan dengan bekalan telur ayam dan minyak masak boleh berhubung terus kepada pihak KPDN.

“Aduan juga boleh dibuat kepada Jabatan Veterinar serta berhubung terus kepada pegawai-pegawai yang dipertanggungjawabkan untuk memantau harga-harga barangan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2023 peringkat Negeri Sabah di Pasaraya Bataras Kolombong di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil pemantau di pasar raya berkenaan, pihaknya mendapati semua barangan terutama barangan harga terkawal mencukupi termasuk bekalan telur ayam dan minyak masak.

“Sekiranya bekalan ini berkurangan, saya dan pihak KPDN akan sentiasa memantau di premis-premis perniagaan untuk memastikan semua bekalan barangan mencukupi untuk Tahun Baharu Cina.

Sementara itu, Pengarah KPDN Sabah Georgie Abas berkata, berdasarkan statistik pemeriksaan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2023 yang bermula pada 15 Januari lalu, setakat ini sebanyak 111 premis diperiksa di seluruh Sabah dan tiada tindakan kes diambil.

“Bagi 2022, sebanyak 4,667 pemeriksaan dijalankan di seluruh Sabah bagi lima SHMMP iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Puasa, Pesta Kaamatan, Deepavali dan Krismas.

“Daripada pemeriksaan itu, sebanyak 19 kes dihasilkan mengikut kesalahan Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 (Penandaan Harga bagi Barangan dan Caj Perkhidmatan) 2020 dengan nilai rampasan sebanyak RM1,130.85 dan nilai kompaun sebanyak RM2,100,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|