Lelaki dicekup bersama syabu

Lelaki dicekup bersama syabu

TAWAU: Polis menahan seorang suspek lelaki dan merampas dadah jenis syabu di Kampung Apas Parit, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Bin Hussin berkata, suspek warga tempatan berumur 31 tahun itu ditahan sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Bandar Sri Indah (BSI) selepas menerima maklumat daripada orang awam.

“Bertindak atas maklumat awam, jam lebih kurang 12.30 tengahari sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) dari Balai Polis Sri Indah yang diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Balai telah membuat serbuan ke atas sebuah rumah yang tidak bernombor di Kampung Apas Parit, Tawau.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut terdapat seorang lelaki (suspek) dalam keadaan mencurigakan. Pemeriksaan pada tubuh badan, suspek tersebut telah menyerahkan 2 bungkusan plastik lutsinar berlainan saiz berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 1.30 gram,” katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Ujarnya, suspek dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama barang rampasan dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambahnya, polis turut sedang mempergiatkan dalam usaha membanteras kegiatan jenayah dan dadah dari masa ke masa dengan operasi yang lebih agresif.

Sementara itu, Jasmin menyeru masyarakat di daerah Tawau khususnya agar dapat menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan dadah termasuk di kalangan ahli keluarga, jiran dan warga sekampung yang disyaki terlibat dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang di talian hotline 089-772121.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|