LOVE KK capai 100 peratus sasaran: DBKK

LOVE KK capai 100 peratus sasaran: DBKK

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengadakan Majlis Apresiasi ‘Love KK’ yang bertempat di Shangri-La Tanjung Aru, semalam

Prestasi yang membanggakan telah diperoleh Jawatankuasa Komponen ‘Love KK’ dengan masing-masing telah melepasi sasaran 100 peratus pencapaian secara keseluruhan sekali gus memberikan kesan impak positif antara pihak berkepentingan bersama DBKK.

Pencapaian ini direkodkan sejak ianya dirasmikan pada bulan April 2022 sehingga tahun berakhir 2023, berdasarkan pendekatan melalui tujuh Jawatankuasa Komponen di dalam program ‘Love KK’.

Antara komponen tersebut ialah KK Bersih (Clean KK), KK Hijau (Green KK), KK Ceria (Vibrant KK), KK Indah (Beautiful KK), Khazanah KK (Heritage KK), KK Berdaya Huni (Liveable KK) serta KK Sihat (Healthy KK).

Menyoroti pembentukan Jawantakuasa ‘Love KK’ ini, pelbagai program dianjurkan termasuk Pelancaran Pasar Malam Bandaran Night Market serta Program Sheila Majid Big Band Show dan Miss World Malaysia 2023.

DBKK juga memperkenalkan Program Tandas Awam Bersih, meliputi Program Dialog Bersama Pengusaha dan Pemilik Tandas Awam, Pengauditan dan Penarafan Bintang Tandas Awam sempena Sambutan Hari Tandas Awam Sedunia Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu pada 19 November lalu.

Selain itu, ‘Love KK’ menganjurkan Festival Kebudayaan dan Makanan Tradisional India selain menjalankan pemeriksaan sekali gus melaksanakan Penggredan Kebersihan Premis Makanan di sekitar bandaraya. Kejayaan tidak terhenti di situ sahaja, ‘Love KK’ turut mengadakan Program Kesedaran ‘My City, My Responsibility’ selain memperkenalkan Pelancaran Kempen Pengurangan Beg Plastik.

Ini adalah satu inspirasi serta inisiatif untuk menggalakkan penyertaan penduduk Bandaraya Kota Kinabalu yang berbilang kaum, agama dan peringkat umur dari segenap lapisan masyarakat dalam aktiviti kemasyarakatan di Bandaraya Kota Kinabalu.

DBKK berharap melalui inisiatif ini, agar warga bandaraya dapat memanfaatkan peluang sedia ada untuk berbakti sekali gus memberi sumbangan kepada Bandaraya Kota Kinabalu.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|