Kerangka mekanisme pembayaran 40% akan dikemuka:UPKO

Kerangka mekanisme pembayaran 40% akan dikemuka:UPKO

KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menyatakan beliau akan mengemukakan cadangan kerangka mekanisme pembayaran semula 40 peratus hasil persekutuan di Sabah kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.

Menurut beliau, cadangan kerangka mekanisme tersebut mengambilkira isu-isu teknikal berkaitan dengan kebolehdapatan data berkaitan dengan kutipan hasil persekutuan di Sabah sejak tahun 1974 dan langkah ke hadapan yang lebih praktikal.

“Sebagai anggota Majlis Tindakan Penyelesaian Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) dan Jawatankuasa Teknikal MTPMA63, saya mengambil inisiatif untuk mengadakan perbincangan meja bulat dengan pemimpin-pemimpin Sabah yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing untuk membincangkan kerangka mekanisme yang boleh diangkat kepada Kerajaan bagi pelaksanaan pembayaran semula 40 peratus hasil persekutuan di Sabah.

“Cadangan kerangka mekanisme ini akan saya angkat kepada kerajaan melalui perbincangan dengan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri II dan Ketua Menteri Sabah sebelum mesyuarat MTPMA63 dan JKMTPMA63 diadakan awal tahun hadapan.

“Saya juga mencadangkan agar satu pre-council melibatkan anggota-anggota mesyuarat daripada Sabah diadakan lebih awal agar kita dapat membawakan naratif yang sama. Pokoknya, kita mahu sebarang pembayaran khas kepada Sabah haruslah berasaskan kepada formula 40 peratus sepertimana dalam Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan cadangan kerangka mekanisme perlu dikemukakan dan dibincangkan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah selaras dengan keputusan kerajaan menetapkan tempoh masa satu tahun bermula bulan Julai 2023 bagi memuktamadkan mekanisme pembayaran tersebut.

Ewon menyatakan demikian semasa mempengerusikan perbincangan meja bulat tersebut di sini, hari ini.

Turut hadir dalam perbincangan tersebut ialah mantan Ketua Menteri Tan Sri Bernard Dompok, wakil Sabah di Lembaga Hasil Dalam Negeri Datuk Petrus Gimbad, mantan Presiden Sabah Law Society Datuk Roger Chin dan Datuk John Sikayun, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah Profesor Datuk Dr Ramzah Dambul dan mantan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|