Curi set lampu solar, dua warga asing diberkas polis

Curi set lampu solar, dua warga asing diberkas polis

TAWAU: Dua lelaki warga asing dicekup selepas didapati mencuri enam set panel lampu solar dianggarkan bernilai RM6,000 dalam satu serbuan di kawasan Pelupusan Sampah Bukit Gemuk, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kedua-dua suspek berusia 31 dan 50 tahun itu berjaya diberkas kira-kira jam 5.40 petang.

Jelasnya, penahanan itu hasil daripada laporan orang awam yang memaklumkan berlaku kecurian melibatkan beberapa set panel lampu solar di kawasan Jalan PPRT Taman Sri Bukit Tawau.

Panel set solar yang berjaya ditemukan di lokasi penahanan suspek berhampiran kawasan Pelupusan Sampah Bukit Gemuk, Tawau. (Gambar IPD Tawau)

“Polis telah menerima laporan pada jam 4.35 petang daripada orang awam memaklumkan telah berlaku kecurian beberapa set panel lampu solar oleh orang yang tidak dikenali dan tiang lampu solar telah ditumbangkan di kawasan Jalan PPRT Taman Sri Bukit Tawau pada hari yang sama.

“Hasil risikan dan tindakan pantas polis dari Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Bombalai, telah memberkas dua lelaki yang merupakan penggangur di kawasan Pelupusan Sampah Bukit Gemuk, Tawau pada jam lebih kurang 5.40 petang.

“Ketika ditahan suspek cuba bertindak melarikan diri dan akhirnya berjaya ditangkap selepas berlaku bergelutan dengan pasukan serbuan,” katanya dalam kenyataan medianya, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berpandukan arah oleh salah seorang suspek telah membawa pihak Polis ke kawasan semak berhampiran tapak pelupusan sampah, Bukit Gemuk dan telah menunjukkan kepada pihak Polis beberapa barang yang telah dicuri, antaranya dua buah unit lampu solar dan empat unit panel solar yang disembunyikannya di dalam semak kawasan tersebut.

Ujarnya, suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Hasil penahanan dua suspek terbabit, kita telah berjaya menyelesaikan beberapa kes kecurian melibatkan kemudahan awam di kawasan tersebut,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Polis Daerah Tawau sedang mempergiatkan lagi usaha membanteras jenayah dan penyalahgunaan dadah dari masa ke masa dengan operasi yang lebih agresif bagi mengesan dan melumpuhkan aktiviti penjenayah.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|