UMS adakan program TOT(AMR) kepada murid sekolah di Kota Belud

UMS adakan program TOT(AMR) kepada murid sekolah di Kota Belud

KOTA KINABALU: Sekumpulan penyelidik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan program Training of Trainers (ToT) berkaitan Antimicrobial Resistance (AMR) dalam kalangan murid sekolah rendah di SK Pekan, Kota Belud baru-baru ini.

Program itu bertujuan melatih peserta untuk menjadi pembimbing rakan sebaya bagi menyebarkan kesedaran berkenaan AMR.

Selain itu, ia juga bagi meningkatkan pengetahuan dan amalan berkenaan AMR dalam kalangan peserta.

Majlis pembukaan program ini disempurnakan oleh Guru Besar, SK Pekan Kota Belud, Rusdi Suin.

Menurutnya, program seperti ini sangat memberi manfaat bukan kepada murid-murid malahan juga kepada guru-guru.

“Seperti yang kita sedia maklum, AMR merupakan salah satu ancaman yang besar kepada negara. Jadi, amatlah sesuai jika pendedahan tentang AMR diberikan sejak dari sekolah.

“Kami dari pihak sekolah sentiasa mengalu-alukan penglibatan pihak universiti demi pembangunan anak watan,” katanya.

Diketuai oleh Ketua Jabatan Pendidikan Perubatan FPSK, Dr. Zulkhairul Naim Sidek Ahmad, katanya peningkatan AMR menjadi ancaman membimbangkan di seluruh dunia termasuk Malaysia kerana ia menyebabkan penyakit sukar diubati dan akan meningkatkan risiko morbiditi dan kematian.

“Oleh yang demikian, kempen pendidikan awal berkenaan AMR amatlah membantu dalam mengurangkan penyebaran AMR.

“Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya dan saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada United States Agency for International Development- Southeast Asia One Health University Network (USAID-SEAOUN) kerana sudi menaja program ini,” katanya yang juga merupakan Ketua Projek AMR.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|