KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah telah menjalankan pemeriksaan dan siasatan lanjut terhadap sebuah restoran di kawasan Kota Kinabalu yang menjual lauk sotong manis berharga RM50, semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa (KPDN) Sabah,Zulfamy Mat Udi berkata, bertindak atas aduan, sepasukan anggota telah menjalankan pemeriksaan dan siasatan secara fizikal di premis diadu.
“Berdasarkan pemeriksaan, premis tersebut ada menunjukkan tanda harga bagi setiap makanan dan minuman yang dijual termasuk sotong manis.
“Bagaimanapun, KPDN menasihatkan pemilik premis supaya memaklumkan harga dengan lebih jelas dari segi saiz sotong manis tersebut. Sebagai contoh, berapa harga untuk sotong manis saiz kecil, sederhana dan besar.
“Penandaan harga lebih khusus ini untuk mengelakkan kekeliruan pengguna,” katanya. Beliau berkata, sebagai tindakan lanjut, premis telah dikenakan tindakan dan disiasat di bawah kesalahan Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana meletakkan harga mengelirukan serta tidak jelas.
“Selain itu, satu Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) dibawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 bagi makanan sotong manis juga dikeluarkan kepada permis tersebut bagi mendapatkan maklumat berhubung harga makanan tersebut dan diminta untuk memberi maklumbalas dalam tempoh dua hari.
“Tindakan diambil dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dan siasatan masih dijalankan sementara menunggu maklum balas daripada peniaga kepada KPDN Sabah,”katanya.
Deasoka