Kota Kinabalu: Kes kehilangan kapal kargo sudah dimaklumkan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dan akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, esok.
Demikian tegas, Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau selepas melawat keluarga Derrent Littor, 22, salah seorang daripada empat lagi kru kapal kargo, MV Dai Cat 06 yang hilang, sejak 1 Januari lalu.
Madius berkata, ia bagi membantu keluarga untuk mengetahui kejadian sebenar berkenaan kehilangan kapal yang membawa 527 batang besi bernilai RM726,205 berkenaan.
“Ia perlu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet untuk mendapatkan gambaran sebenar membabitkan kehilangan tiga warga Malaysia terbabit.
“Kita juga berharap kerajaan akan mengambil tindakan serius kes dan akan melaksanakan tindakan sepatutnya sepertimana yang dilakukan semasa kes kehilangan pesawat MH370 sebelum ini,” katanya.
Madius berkata, kejadian ini juga perlu mendapatkan penjelasan dengan lebih terperinci termasuk tindakan lanjut yang akan dilaksanakan pihak berkuasa selepas operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dihentikan.
“Saya akan terus memantau perkara ini termasuk mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Kita juga berterima kasih dengan maklumat yang disalurkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kepada keluarga mangsa sepanjang tempoh SAR dilaksanakan,” katanya.
Pada 10 Januari lalu, media melaporkan kehilangan kapal MV Dai Cat 06 yang didedahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Kapal berukuran 52 meter yang membawa 527 batang besi bernilai RM726,205 itu dinaiki lima kru kapal kargo membabitkan tiga warga tempatan serta dua warga Indonesia.
Difahamkan, nakhoda kapal berkenaan dikenali sebagai Adi, 43, dari Indonesia, manakala jurutera kanan kapal juga warga Indonesia, Damai Papane Ole, 57.
Tiga rakyat Malaysia yang turut serta dalam kapal berkenaan adalah ketua operasi kapal, Mohammad Syafarizan Mohd Noor, 24; Mohammad Sudeh Sudin, 20, dan Derrent Littor, 22.
MV Dai Cat 06 yang berlepas dari jeti Perak pada 23 Disember 2022, sepatutnya tiba di Kuching pada 31 Disember lalu.
-Deasoka