Tawau: Pasukan Polis Marin (PPM) menemukan longgokan plastik hitam berisi minyak masak bersubsidi dan gula yang ditinggalkan di tepi pantai Batu Payung, di sini, semalam.
Semua plastik hitam berisi 10 kotak minyak masak dan 10 bungkus gula itu ditemukan oleh anggota dari Unit Risikan Marin (URM) PPM Tawau ketika menjalankan tugas Op Gelora Khas/Op Kontraban.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota URM PPM Tawau membuat rondaan dan pemantauan di kawasan persisiran pantai Batu Payung.
Hasil pemantauan yang dijalankan menemui beberapa longgokan plastik hitam yang diletakan di tepi pantai berkenaan.
Pemeriksaan lanjut menemui 10 kotak yang berisi minyak masak dan 10 bungkus plastik hitam yang mengandungi gula.
Hasil daripada pemerhatian, tiada individu yang tampil mengambil barangan berkenaan.
Dipercayai kotak berisi minyak masak dan gula bernilai RM1,500 itu cuba diseludup ke negara jiran.
Anggota PPM Tawau kemudian membuat rampasan ke semua barangan kawalan berkenaan dan dibawa ke pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
-Deasoka