Liputan internet Sabah dijangka capai 100 peratus akhir 2024

Liputan internet Sabah dijangka capai 100 peratus akhir 2024

Kota Kinabalu: Kesalinghubungan rangkaian internet di Sabah dijangka mencapai 100 peratus menjelang hujung tahun 2024.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif berkata, ia adalah lebih awal daripada sasaran yang ditetapkan bagi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif

“Saya akan pastikan kita akan mencapai 100 peratus kesalinghubungan internet di Sabah menjelang hujung tahun 2024, lebih awal daripada sasaran program JENDELA.

“KSTI bukan sahaja menjaga hal ehwal berkaitan Sains Teknologi dan Inovasi (STI), tetapi turut menyelaras isu-isu mengenai capaian Internet dan telekomunikasi, usahawan kreatif dan sosial serta modal insan.

“Kepelbagaian ini merupakan salah satu kelebihan kepada KSTI untuk melebarkan sayap dalam mencapai visinya melahirkan Generasi Intelek dan Inovatif melalui kemajuan Sains, ICT dan Modal Insan berkemahiran tinggi menjelang tahun 2030,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Taklimat Khas sebagai menteri baharu di KSTI yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap dan Ketua Jabatan di bawah KSTI, Datuk Zainudin Aman.

Ariffin berkata, kementeriannya juga telah merangka Pelan Strategik KSTI 2022-2025 yang merupakan perancangan bagi tempoh empat tahun akan datang.

Jelasnya, ia bertujuan untuk memenuhi matlamat Sabah untuk menjadikannya sebuah negeri yang berteknologi tinggi selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Pelan strategik ini adalah panduan dalam penetapan hala tuju dalam melahirkan masyarakat yang berkemahiran dan mempunyai pengetahuan dalam bidang teknologi digital.

“Selain melahirkan masyarakat intelek, kreatif dan inovatif melalui perancangan dan pelaksanaan program pembangunan sumber manusia selaras dengan keperluan industri di Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, program-program yang telah dirancang akan diteruskan dan beberapa inisiatif yang akan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat termasuk peringkat akar umbi akan ditambahbaik.

Antaranya ialah Majlis Anugerah Sains Sabah, Karnival Sains Sabah 2023, Jelajah SMJ- KSTI merangkumi enam zon dan pembinaan tiga Pusat Sains di Perpustakaan Negeri Sabah di Keningau, Tawau dan Sandakan.

Selain itu, ialah program pembinaan 20 sudut sains serta naiktaraf 20 makmal sains di beberapa sekolah yang akan dikenalpasti.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|