Petisyen pilihan raya: Shahelmey tidak tercabar tindakan bekas calon PH

Petisyen pilihan raya: Shahelmey tidak tercabar tindakan bekas calon PH

Kota Kinabalu: “Saya tidak rasa tercabar, saya selesa. Kita terima hakikat.”

Itu maklum balas Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya mengenai petisyen pilihan raya yang difailkan bekas calon Pakatan Harapan (PH), Awang Husaini Sahari untuk mencabar kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), November lalu.

Shahelmey ditemui pada sesi ‘walkabout’ mengagihkan limau Mandarin sempena sambutan Tahun Baharu Cina, di sekitar pekan Putatan.

Malah, katanya, beliau sudah menjangkakan perkara itu akan berlaku berdasarkan jumlah majoriti undi diperolehinya yang kecil pada PRU itu.

Bagaimanpun, Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, berkata beliau tetap mengarahkan pasukan peguamnya untuk mengambil tindakan lanjut.

“Saya tidak tercabar langsung, saya selesa. Namun, kita menerima hakikat bahawa apabila berlaku majoriti tipis, pasti akan ada petisyen pilihan raya dikemukakan.

“Itu kita sudah jangkakan. Saya sudah menerimanya dan telah mengarahkan pasukan peguam saya untuk membuat tindakan yang selanjutnya,” katanya sambil menambah beliau sudah bersedia untuk berdepan dengan petisyen berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan sesi ‘walkabout’ bagi mengagihkan limau Mandarin sempena sambutan Tahun Baharu Cina, di sekitar pekan Putatan, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Awang Husaini yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) memfailkan petisyen pilihan raya bagi membatalkan keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen Putatan.

Pada PRU15, Shahelmey memenangi kerusi Parlimen berkenaan dengan majoriti 124 undi selepas memperoleh 16,234 undi menewaskan tiga calon lain termasuk Awang Husaini.

Awang Husaini yang juga bekas Ahli Parlimen Putatan memperoleh 16,110 undi, diikuti calon Parti Warisan, Ahmad Mohd Said (8,511 undi) dan calon Pejuang, Patrick Payne (394 undi).

Sementara itu, mengenai program ‘walkabout’ itu, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata program berkenaan merupakan amalan yang diadakan bagi mendekati masyarakat menjelang sambutan perayaan tidak lama lagi.

“Sambutannya adalah positif dan ini satu petanda bahawa ikatan kemasyarakatan pelbagai kaum di Putatan sentiasa subur dan kita harus pelihara dari semasa ke semasa,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|