SCENIC diiktiraf Agensi Sektor Awam Paling Berkesan Memacu Penggunaan Digital

SCENIC diiktiraf Agensi Sektor Awam Paling Berkesan Memacu Penggunaan Digital

Kota Kinabalu: Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC) mendapat merit mention dalam Agensi Sektor Awam Paling Berkesan Memacu Penggunaan Digital (Peringkat Negeri) ketika Anugerah Top in Tech Innovation, baru-baru ini.

Disokong Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), anugerah berkenaan dianjurkan Malaysiakini dan Digital News Asia dengan sasaran untuk mengenal pasti semua sumbangan besar dibuat kepada masyarakat dan ekonomi melalui penggunaan digital dan penyelesaian inovatif di tengah-tengah krisis sosio ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

SCENIC menerima Merit Mention bagi kategori Agensi Sektor Awam Paling Berkesan Memacu Penggunaan Digital pada majlis Anugerah Inovasi Top in Tech di Kuala Lumpur.

Eksekutif Kanan Pemasaran dan Komunikasi SCENIC, Norsida Ajhari, berkata pengiktirafan di peringkat pusat itu sangat besar maknanya kepada SCENIC sebagai sebuah inisiatif kerajaan yang baru berumur dua tahun 10 bulan.

“Ini bukanlah hasil SCENIC semata-mata, sebaliknya juga rakan-rakan strategik terlibat secara langsung dan tidak langsung sejak penubuhan SCENIC ada dalam perjalanan pencapaian ini.

“Sejak pandemik lagi, walaupun berlakunya perintah berkurung, SCENIC tidak berhenti melakukan meneruskan program pembinaan kapasitinya kerana untuk membawa perubahan dalam masyarakat, kita memerlukan usaha yang konsisten dalam melatih dan meningkatkan kemahiran kita di Sabah. Sikap leka bukan pilihan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini.

Norsida berkata sepanjang penubuhannya, SCENIC yang diletakkan di bawah agensi kerajaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), telah bekerjasama dengan bukan sahaja entiti negeri tetapi persekutuan seperti MOSTI, Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI), Cradle Fund Sdn Bhd, MTDC, Yayasan Amanah Belia MyHarapan, Kedutaan Amerika Syarikat, Yayasan Hasanah termasuk sebuah lagi syarikat animasi antarabangsa, Toon Boom Animation yang berpusat di Kanada.

Beliau berkata, SCENIC juga bekerjasama dengan AirAsia Academy untuk program Ratutech, diberikan akreditasi untuk Toon Boom Authorised Training Centre, penubuhan SCENIC Creative Academy (SCA), serta berjaya menganjurkan dua sidang kemuncak iaitu SE dan Teknologi Borneo untuk kali pertama di Borneo.

Kedua-dua sidang kemuncak bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan tentang keusahawanan sosial dan teknologi masing-masing.

Sementara itu, Pengurus Besar SCENIC, Viviantie Sarjuni, yang berpangkalan di Scotland dan sedang melanjutkan pelajaran dalam ijazah sarjana selama 1 tahun di bawah Anugerah Chevening oleh Kerajaan UK, berkata bahawa tiga bahagian penting yang perlu diperkukuhkan dalam membina ekosistem yang berkembang maju dan berfungsi di Sabah.

Tiga perkara itu, katanya ialah infrastruktur, aktiviti pembinaan kapasiti dan sistem pembiayaan.

“Kita bukan pakar dalam semua perkara tetapi apa yang kita boleh buat ialah dengan memainkan peranan sebagai seorang ‘orchestrator’ yang membina rangkaian dalam ekosistem supaya kita boleh membentuk nilai yang hebat kepada negeri dan rakyatnya.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) atas sokongan yang tidak berbelah bahagi, terutama daripada kepimpinan Setiausaha Tetapnya, Datuk Zainudin Aman.

“Penghargaan khas juga kepada Bahagian Inovasi dan Teknologi Digital (BITD) sebuah jabatan di bawah KSTI yang turun padang bersama SCENIC untuk memahami cabaran di lapangan.

“Ia bukan lagi mengenai persaingan tetapi kolaborasi dengan agensi kerajaan negeri dan persekutuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institut pengajian tinggi dan bakat yang kita ada supaya kita boleh membawa nilai yang lebih besar kepada negara,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|