Kota Kinabalu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan penggunaan tenaga elektrik terutama ketika musim perayaan.
Timbalan Pengarah JBPM Sabah, Farhan Sufyan Borhan berkata, statistik kebakaran struktur kediaman ini menunjukkan lebih 60 peratus berpunca disebabkan kegagalan elektrik dan juga penyambungan tenaga elektrik berlebihan.
“Musim perayaan ini, orang ramai akan pulang ke kampung dan berkumpul di rumah keluarga dan penggunaan tenaga elektrik lebih tinggi.
“Jadi pastikan, jangan menggunakan banyak tenaga elektrik daripada satu sumber yang sama kerana boleh menyebabkan berlaku kebakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran Sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2023 di Lido Square, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengurus Lido Square, Andy Goh dan pegawai kanan JBPM Sabah.
Pada pelancaraan itu juga, JBPM Sabah menyumbangkan dua unit alat pemadam api bertujuan untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan alat pemadam api sebagai medium pemadaman peringkat awalan.
Selain itu, edaran risalah berkaitan dengan keselamatan kebakaran juga dibuat kepada pengunjung dan peniaga di Lido Square.
Mengulas lanjut, Farhan turut menasihati orang ramai supaya memeriksa dapur memasak sebelum berkunjung ke rumah saudara atau jiran tetangga.
“Kecuaian juga mungkin boleh berlaku dalam masa tempoh kita kunjung mengunjungi.. mungkin kita terlupa masakkan di dapur dan ia boleh menyebabkan kebakaran.
“Oleh itu, pastikan sebelum keluar rumah, semua alat memasak, elektrik dipadamkan bagi mengelak berlakunya kebakaran,” katanya.
Sementara itu, sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina 2023 ini, Farhan berkata, sebanyak 80 peratus dari lebih 900 pegawai dan anggota JBPM Sabah diarah bertugas.
Katanya, semua akan bersiap sedia untuk digerakkan sepanjang Perayaan Tahun Baru Cina 2023.
“Semua akan bertugas dan kita akan meningkatkan lagi pemantauan dan pemeriksaan di kawasan-kawasan hotspot yang mana pegawai dan anggota akan membuat rondaan dari semasa ke semasa.
“Sekiranya berlaku sebarang kecemasan, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 999,” katanya.
-Deasoka