Makmal Hidup Perhutanan UMS dibangunkan di Sapulut

Makmal Hidup Perhutanan UMS dibangunkan di Sapulut

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mewujudkan Makmal Hidup (Living-Lab) Perhutanan yang pertama universiti itu yang terletak di Sapulut, Nabawan.

Makmal yang dibangunkan di Jawala Plantation Sdn Bhd itu dilancarkan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, baru-baru ini.

Kasim bersama rombongan UMS dan Jawala Plantations pada pelancaran Makmal Hidup Perhutanan UMS di Sapulut, Nabawan.

Beliau berkata, makmal itu membolehkan penyelidik UMS dapat menyumbang kepakaran dan menghasilkan pelbagai penemuan baharu yang relevan dengan usaha dilakukan Jawala Plantation.

“Pelajar khususnya dalam jurusan perhutanan juga dapat menjadikan Living Lab ini sebagai tempat menjalankan latihan industri yang praktikal.

“Saya bagi pihak UMS mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Jawala Plantation Industries Sdn Bhd atas kesudian menerima cadangan merealisasikan Makmal Hidup Perhutanan UMS yang pertama,” katanya pada majlis pelancaran makmal berkenaan.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Jawala Inc, Rahman Khan; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof Madya Dr Raman Noordin dan Dekan Fakulti Perhutanan Tropika (FPT), Prof Madya Dr Normah Awang Besar @ Raffie.

Mengulas lanjut, Kasim berkata makmal hidup itu berperanan penting dalam memberi nilai tambah kepada graduan UMS.

Katanya, pelajar akan merasai penat lelah mendaki setiap cerun, menilai aroma kehijauan hutan yang menyegarkan dan memegang serangga dan pelbagai tumbuhan hijau dalam hutan berkenaan.

“Dengan itu, mereka akan lebih menjiwai tugas dan tanggungjawab kerjaya dalam bidang perhutanan.

“Paling penting ialah di sini mereka akan tahu makna tugas dan tanggungjawab memelihara khazanah hutan yang sewajarnya dipelihara dengan baik untuk manfaat generasi mendatang,” katanya.

Beliau berkata, sebagai balasan, pihak syarikat akan menyediakan kemudahan kepada penyelidik dan pelajar yang akan membuat kerja lapangan kelak.

“Selain itu, pihak syarikat juga akan memberikan latihan industri kepada pelajar. Hal ini akan mematangkan lagi ilmu yang mereka pelajari di bilik kuliah atau makmal dalam kampus,” katanya.

Dalam pada itu, Rahman menyambut baik usaha dan kesudian pihak UMS menjadikan ladang mereka sebagai makmal hidup perhutanan yang pertama.

Katanya, ia adalah satu kerjasama strategik bagi memastikan khazanah hutan milik kerajaan wilayah Sabah dapat diurus dengan lebih baik.

“Pihak syarikat sangat giat memastikan agar Industrial Tree Plantations (ITP) dapat dilipatgandakan lagi usahanya agar untuk tempoh lapan hingga 10 tahun mendatang, lebih banyak pokok mampu ditanam dan seterusnya memberi manfaat kepada ekonomi Sabah yang berpanjangan.

“Menerusi Forestry Living Lab ini kelak, ia akan mampu menghasilkan penambahbaikan dari segi pengurusan nurseri, penghasilan bibit benih yang bagus, mengawal ancaman penyakit terhadap proses tumbuhan pokok dan pelbagai lagi,” katanya.

Jawala Plantation Industries Sdn Bhd adalah syarikat yang diberi tanggungjawab oleh kerajaan Sabah bagi mengurus penanaman semula pokok kayu spesies Laran, Albizia dan beberapa spesies lain di tanah seluas 11,084 hektar di kawasan Hutan Simpan Sapulut.

UMS dan syarikat yang tersenarai dalam Bursa Saham Singapura itu sudah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) pada 20 Januari 2022 bagi mewujudkan sebuah kerjasama yang lestari menjurus kepada penyelidikan dan tempat praktikal kepada pelajar khususnya dalam jurusan perhutanan FPT UMS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|