Tidak berlaku kekosongan 4 kerusi Parlimen di Sabah

Tidak berlaku kekosongan 4 kerusi Parlimen di Sabah

Kota Kinabalu: Kedudukan empat Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang sebelum ini mengumumkan keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bagi kerusi Parlimen Sipitang, Papar, Ranau dan Batu Sapi kekal.

Ia berikutan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul memutuskan tidak berlaku kekosongan kerusi keempat-empat kerusi Parlimen itu susulan notis pengosongan luar jangka kerusi terbabit yang difailkan BERSATU, bulan lalu.

Keputusan itu dimaklumkan Ahli Parlimen bagi kerusi terbabit berdasarkan surat jawapan Johari kepada Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berhubung notis berkenaan.

Ronald sebelum ini menyatakan bahawa BERSATU menghantar notis kekosongan luar jangka berikutan tindakan empat Ahli Parlimen terbabit mengumumkan keluar BERSATU dan duduk di kerusi blok kerajaan pada persidangan Dewan Rakyat, 19 Disember lalu.

Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah mengesahkan menerima salinan surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat yang ditujukan kepada Ronald yang antara lain menjelaskan tidak berlaku kekosongan kerusi mengikut perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Saya menerima salinan surat dari Speaker Dewan Rakyat yang dihantar kepada YB Datuk Seri Dr Roland Kiandee yang menyatakan dan memutuskan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya, di sini, hari ini.

Selain beliau, Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin turut mengesahkan menerima salinan surat sama yang menyatakan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa empat Ahli Parlimen di kerusi terbabit tidak perlu mengosongkan kerusi.

Katanya, ia disebabkan mereka semua sudah menjadi ahli Parti GRS sebelum penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lagi.

Turut mengesahkan berita yang sama ialah Ahli Parlimen Papar yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

Armizan berkata, beliau menerima salinan emel dari Johari yang dihantar kepada Ronald berhubung status mereka selepas keluar daripada BERSATU, bulan lalu.

Katanya, mereka berempat tidak perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi pada PRU15 itu.

Seorang lagi yang terbabit dalam notis pengosongan kerusi itu ialah Ahli Parlimen Batu Sapi yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan.

Pada 29 Disember lalu, Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, BERSATU sudah menghantar notis kepada Johari untuk memastikan berlaku kekosongan ‘luar jangka’ di empat kerusi Parlimen berkenaan.

Notis itu berkaitan dakwaan bahawa empat Ahli Parlimen GRS itu melakukan kesalahan melompat parti apabila bertindak keluar BERSATU dan menjadi ahli langsung dalam GRS.

Johari sebelum ini menetapkan tempoh 21 hari untuk memberikan jawapan terhadap notis yang dikemukakan BERSATU itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|