Kajian kebolehlaksanaan Empangan Papar dijangka siap suku ketiga tahun ini

Kajian kebolehlaksanaan Empangan Papar dijangka siap suku ketiga tahun ini

Kota Kinabalu: Kajian kebolehlaksanaan membabitkan pembinaan empangan di Papar dijangka siap pada suku ketiga tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya berkata, selesai itu barulah Kabinet Negeri akan menentukan tindakan selanjutnya.

“Pembinaan empangan Papar masih dalam peringkat kajian terakhir yang akan dikemukakan Kerajaan Negeri apabila ianya sudah siap.

“Setelah itu, barulah Kabinet Negeri boleh membuat keputusan lanjut. Ia dijangka siap pada suku ketiga tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Loji Rawatan Air (LRA) Moyog, hari ini.

Ditanya sekiranya kerajaan akan mempertimbangkan pelantikan syarikat tempatan, Shahelmey berkata, ia akan ditentukan apabila sampai masanya.

“Ia akan ditentukan kemudian, paling utama kita ingin tahu hasil daripada kajian kebolehlaksanaan yang dijalankan, sama ada sesuai atau tidak.

“Saya mengutamakan mereka yang boleh melakukannya tanpa menjadikan ia projek ‘sakit’, sama ada tempatan atau antarabangsa, apa yang penting adalah keupayaan mereka,” katanya.

Terdahulu, beliau turut mengadakan lawatan pemeriksaan bekalan air ke beberapa kawasan di sekitar Putatan yang dilaporkan mengalami gangguan bekalan air terawat.

Antaranya ialah Taman Teluk Villa, Taman Pasir Putih dan Taman PPR Keramat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|