Kinabatangan: Dua lelaki maut selepas motosikal ditunggang mereka bergesel sesama sendiri dipercayai ketika berlumba di Kilometer 65, Jalan Sandakan – Lahad Datu, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, kedua-dua lelaki yang belum diketahui identitinya disahkan meninggal dunia lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Manakala seorang lagi penunggang yang selamat dipercayai beredar dari tempat kemalangan.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan, Dzulbaharin Ismail berkata, kemalangan melibatkan tiga motosikal yang ditunggang tiga pekerja ladang di daerah berkenaan.
Katanya, siasatan awal di lokasi mendapati, ketiga-tiga penunggang motosikal itu bergerak dari arah Lahad Datu menuju ke Sandakan namun hilang kawalan kerana disyaki berlumba sebelum berlanggar antara satu sama lain.

“Kesan pelanggaran itu menyebabkan motosikal mereka terbabas ke bahu jalan sebelah kiri jalan raya.
“Akibatnya, dua penunggang disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kinabatangan manakala seorang lagi tidak dijumpai di lokasi dan dipercayai beredar dari kawasan kemalangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dzulbaharin berkata, kedua-dua mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk dibedah siasat.
“Siasatan masih diteruskan dan sampel darah serta air kencing mangsa diambil untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
-Deasoka