Pengekalan kadar tarif elektrik beri kelegaan kepada rakyat, PMKS

Pengekalan kadar tarif elektrik beri kelegaan kepada rakyat, PMKS

Kota Kinabalu: Pengekalan kadar tarif elektrik untuk pengguna domestik dan pengguna bukan domestik di Sabah memberi kelegaan kepada rakyat, khususnya mereka yang terlibat dalam Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah (PPBS), David Chan berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman yang dibuat kerajaan itu.

Katanya, pengekalan tarif yang dilaksanakan di negeri Sabah dan Labuan untuk tempoh enam bulan pertama, iaitu 1 Januari hingga 30 Jun ini merupakan satu tindakan yang dapat membantu rakyat dalam menangani kos sara hidup ketika ini.

“Kita turut menyokong keputusan Kerajaan memberikan subsidi tambahan bagi membantu pengguna domestik dan bukan domestik di bawah kategori tarif CM1 dan ID1 sebanyak RM212 juta bagi tempoh enam bulan bermula Januari 2023 sehingga Jun 2023,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

David membuat kenyataan demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar di sini pada Khamis.

Turut hadir adalah Timbalan Pengurus Besar Perkhidmatan Pelanggan SESB, Fauziah K Hamid; Ketua Komunikasi Korporat, Jamdin Abdul Razik; dan Ketua Pengawalseliaan Ekonomi dan Pengurusan SESB, Nor Nasaliza Abdul Rafar.

Sementara itu, beliau meminta rakyat agar memanfaatkan kesempatan di atas tolak ansur dan pertimbangan kerajaan itu untuk mengambil langkah-langkah bijak bagi menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

“Persatuan Pengguna Bijak juga bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak, khasnya SESB dan Suruhanjaya Tenaga untuk memulakan kempen penjimatan tenaga agar kesedaran dapat disebarkan di dalam kalangan pengguna dan rakyat,” katanya.

Tambah beliau, langkah kerajaan itu sekurang-kurangnya membantu meringankan beban rakyat ekoran kenaikan pelbagai harga barang sejak akhir-akhir ini selain keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Suruhanjaya Tenaga (ST) mengumumkan di bawah mekanisme ICPT, kos bahan api dan kos penjanaan elektrik akan disemak setiap enam bulan dan dilepaskan kepada pengguna elektrik dalam bentuk rebat atau surcaj bergantung kepada penjimatan atau peningkatan kos yang terlibat setelah mengambil kira subsidi oleh kerajaan.

Peningkatan kos penjanaan adalah rentetan daripada kenaikan kos bahan api diesel dan medium fuel oil yang merupakan sebahagian daripada bahan api penjanaan elektrik di Sabah dan Labuan,selain daripada gas asli di pasaran global dan ianya adalah diluar kawalan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Kerajaan.

Adalah dianggarkan 99 peratus atau lebih daripada 656,000 daripada keseluruhan pengguna elektrik tidak akan mengalami peningkatan kos penjanaan ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|