Bawa barangan tanpa permit, sembilan ditahan Maritim

Bawa barangan tanpa permit, sembilan ditahan Maritim

KUDAT: Sembilan individu yang menaiki sebuah bot pancing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat selepas didapati membawa muatan barang kawalan tanpa permit sah, di perairan daerah ini.

Dalam kejadian jam 1.55 pagi tadi, turut dirampas 13 tong LPG dan 15 gelen minyak petrol yang disyaki cuba dibawa keluar daripada daerah berkenaan.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, hasil maklumat risikan yang diterima pihaknya, pergerakan bot terbabit berjaya dikesan oleh sepasukan anggota yang sedang melaksanakan rondaan Op Tiris di sekitar perairan tersebut.

“Sekitar jam 2.05 pagi, bot suspek berjaya dikesan dan ditahan di kedudukan lebih kurang jarak 0.3 batu nautika Selatan Esplanade, Kudat.

“Melalui pemeriksaan yang dilakukan, terdapat sembilan individu berada di dalam bot berkenaan berumur lingkungan 18 hingga 44 tahun.

“Seorang daripadanya merupakan warga tempatan merupakan tekong bot manakala lapan individu yang lain kesemuanya warga Filipina.

“Pemeriksaan lanjut menemui sejumlah 13 tong gas petroleum cecair (14kg/tong) serta 15 gelen berisi minyak petrol dianggarkan sebanyak 500 liter dibawa bot berkenaan tanpa permit yang sah daripada pihak berkuasa,” katanya.

Menurut beliau kesemua suspek bersama bot dan barang rampasan seterusnya ditahan dan dibawa ke jeti untuk siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan lebih RM100,000.

“Kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit yang sah, Akta Perikanan 1985 kerana lesen telah tamat tempoh dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan,” katanya.

Jelas Maurice, Zon Maritim Kudat menyeru masyarakat khususnya komuniti maritim di Kudat untuk sama-sama membantu Maritim Malaysia dengan melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 088- 611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|