Banjir: Jumlah mangsa terjejas banjir meningkat kepada 607 orang

Banjir: Jumlah mangsa terjejas banjir meningkat kepada 607 orang

Kota Kinabalu: Jumlah mangsa terjejas bencana banjir meningkat lebih dua kali ganda dengan 607 mangsa, berbanding hanya 251 mangsa dilaporkan tengah hari tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata, jumlah setakat jam 4 petang itu membabitkan sebanyak 139 Ketua Isi Rumah (KIR).

Proses pemindahan mangsa-mangsa terjejas banjir ke PPS yang telah diaktifkan

Katanya, jumlah daerah yang terlibat juga telah meningkat kepada empat, dengan Kota Marudu menjadi yang terkini terjejas banjir.

“Kudat mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 381 orang, diikuti Paitan (147 mangsa) dan Pitas (79 mangsa).

“Bagaimanapun, jumlah mangsa terjejas di Kota Marudu masih belum dapat dipastikan kerana masih dalam proses pendaftaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, sebanyak 17 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di daerah berkenaan bagi menempatkan mangsa-mangsa yang terkesan.

“Terdapat dua PPS yang aktif di Kudat, iaitu Dewan Terbuka Matunggong dan Dewan SK Sikuati.

“Di Paitan, terdapat lima PPS yang beroperasi, iaitu Dewan Kg Kubambangan, Dewan Kg Batangon Darat, Dewan Kg Binsulung, Gereja PCS Kg Puru Batu dan SK Tanjung Nipis.

“Manakala, terdapat tiga PPS di Pitas, iaitu Rumah Ketua Kampung Sinasak Batu, Surau Kg Sibuang dan Dewan Kg Kusilad,” katanya.

Tambahan itu, terdapat tujuh PPS yang turut dibuka di Kota Marudu dan kini dalam proses
pemindahan mangsa dan pemurnian data daripada pihak
berwajib.

Antaranya ialah Dewan Komuniti, Dewan SK Teritipan, Dewan Kg Asin-Asin, SMK Bengkongan, SK Ranau, SMK Tandek dan Dewan St. Theresa.

Trend semasa situasi banjir di negeri ini terus menunjukkan peningkatan dengan pertambahan jumlah mangsa di PPS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|