Operasi SAR nelayan hilang disambung esok

Operasi SAR nelayan hilang disambung esok

Kota Kinabalu: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan yang dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki bersama dua rakannya karam dipukul ombak di perairan Karambunai, di sini, akan disambung semula esok.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi dijalankan menggunakan kaedah ‘surface searching’ dengan bot di sekitar pesisir pantai.

Pasukan bomba menjalankan SAR di sekitar perairan Karambunai hingga ke Tanjung Badak.

Katanya, operasi SAR bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan bot nelayan dari Karambunai ke Tanjung Badak sejauh lima kilometer.

“Keadaan ombak yang kuat menyukarkan pergerakan bot ke laut.

“Operasi ditangguhkan pada 6 petang dan akan disambung esok,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, mangsa Morris Dulin, 69, dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki bersama dua lagi rakannya karam akibat dipukul ombak di perairan Karambunai, pagi tadi.

Dua rakannya bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri berenang ke pantai manakala mangsa hilang sebelum menghubungi bomba jam 10.11 pagi untuk bantuan SAR.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|