8 pegawai, anggota ESSCOM ditahan bantu siasatan kes bunuh di Tawau

8 pegawai, anggota ESSCOM ditahan bantu siasatan kes bunuh di Tawau

Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah mengesahkan lapan anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) termasuk empat pegawai kanan ditahan berhubung kes bunuh seorang lelaki di Tawau.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, penahanan itu bagi membantu siasatan polis berhubung kes berkenaan.

Datuk Idris Abdullah

“Semua tangkapan ditahan dan direman berkuatkuasa selama tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut.

“PDRM juga sudah menubuhkan pasukan siasatan khas dari Bukit Aman dan pihak polis tidak akan membuat kenyataan terperinci mengenai kes ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Idris berkata, ia masih terlalu awal untuk sebarang kenyataan kerana dibimbangi boleh mengganggu siasatan.

“Pihak media juga dipohon supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengaitkan mengenai isu keselamatan kerana kes ini lebih bersifat peribadi.

“Setakat ini, kes masih diperingkat siasatan dan sidang media lanjut akan dibuat selepas siasatan dilengkapkan,” katanya.

Terdahulu, pada 16 Januari lalu, mayat seorang lelaki ditemui dalam kawasan semak di Tawau, dipercayai mangsa bunuh.

Turut ditemui bersebelahan dengan mayat mangsa sebuah kereta jenis Perodua Myvi putih.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|